Jejak Ekonomi

...

Thursday, June 24, 2010

BNM tak campur tangan pasaran tukaran mata wang asing



BANK Negara Malaysia (BNM) tidak akan campur tangan dalam pasaran tukaran mata wang asing selepas China mengumumkan akan melaksanakan dasar yang lebih anjal terhadap mata wang yuan, kata Gabenornya, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Minggu lalu, China mengumumkan akan membenarkan mata wangnya bergerak lebih anjal, langkah yang bakal menyaksikan pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Zeti menegaskan, Bank Negara akan berpegang kepada dasar sedia ada dan menjangkakan langkah kerajaan China itu hanya memberikan kesan yang kecil kepada rantau Asia.

“Langkah (China) itu dijangkakan tidak memberi kesan kepada pasaran kewangan rantau ini, termasuk pasaran tukaran asing.

“Kami akan meneruskan dengan dasar tukaran asing yang dilaksanakan ketika ini. Langkah itu telah berfungsi dengan baik untuk pasaran mata wang kami,” katanya kepada Reuters di Amsterdam, semalam.

Beliau melawat Belanda sebelum menghadiri mesyuarat tahunan Penyelesaian Antarabangsa di Switzerland hujung minggu ini.

Zeti menjelaskan, kenaikan ringgit tahun lalu, yang meningkat hampir sembilan peratus untuk berada pada RM3.231 berbanding dolar AS, memberi kesan positif kepada pemulihan ekonomi Malaysia.
Ekonomi negara berkembang 10 peratus dalam suku pertama tahun ini, yang juga kadar terpantas dicatat dalam tempoh 10 tahun.

“Kami akan menggalakkan persekitaran pasaran yang bergerak secara teratur. Pada kebanyakan masa, pergerakan itu tidak akan membabitkan dasar campur tangan.
“Kami hanya campur tangan untuk menstabilkan persekitaran pasaran ketika kejatuhan Lehman Brothres dan tempoh selepasnya. Tindakan itu diambil untuk mengelakkan kemerosotan nilai mata matang,” kata Zeti.

Sumber : Berita Harian Online

Sunday, June 20, 2010

Apakah Ekonomi Islam

Sistem Ekonomi Islam menekankan aspek nilai moral dan nilai ibadah dalam setiap kegiatannya. Prinsip ekonomi Islam adalah:
  1. Kebebasan individu
  2. Hak terhadap harta
  3. Ketidaksamaan ekonomi dalam batasan
  4. Kesamaan sosial
  5. Keselamatan sosial
  6. Larangan menumpuk kekayaan
  7. Larangan terhadap institusi anti-sosial
  8. Kebajikan individu dalam masyarakat
sumber : http://bimcrot.tripod.com/global/isnom.html

Bank Rakyat rancang pelbagaikan bidang perniagaan francais



BANK Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) bercadang untuk mengembangkan produk francais pajak gadai Islam di bawah jenama Ar-Rahnu X’change di Indonesia dalam usaha mempelbagaikan bidang perniagaan francais ke republik itu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata langkah itu adalah sebahagian daripada usaha mempelbagai bidang perniagaan francais di Indonesia yang bertumpu kepada produk kesihatan dan makanan. “Ini pertama kali produk sebegini diperkenalkan di Indonesia, kita baru nak tinjau, belum bincang sama ada boleh atau tidak, belum tahu.

“Rakyat Indonesia yang akan buka perniagaan ini, cuma menggunakan konsep kita, inilah konsep francais,” katanya kepada media di Jakarta semalam, sempena lawatan kerja dua hari ke republik itu.

Ismail berkata, sebagai sebuah negara yang memiliki penduduk Islam teramai di dunia, beliau melihat produk itu berpotensi besar dikembang di Indonesia.

Beliau berkata namun begitu, beberapa perkara seperti dari segi perundangan dan sebagainya perlu diambilkira terlebih dulu.
Terdahulu Ismail Sabri merasmikan Pavilion Malaysia di Ekspo Konsep Perniagaan dan Lesen Francais Antarabangsa 2010 (IFRA) di Pusat Konvensyen Jakarta (JCC) yang sedang berlangsung dari 18 Jun hingga semalam.

Ismail berkata, setakat ini 11 syarikat francais Malaysia membuka perniagaan di Indonesia termasuk Sports Planet, Daily Fresh, Nelson’s, Smart Reader, Royal Selangor dan Saba Islamic Media.

“Tahun ini Malaysia menawarkan tujuh produk francais baru untuk pasaran Indonesia iaitu Ar-Rahnu X’change, francais pendidikan dan asuhan kanak-kanak iaitu Q-Dees, Children Islamic Centre (CIC) dan pusat Tuisyen Mawar, francais optometris Focus Point, francais kiosk aiskrim MingoMingo dan francais kiosk dessert CoolBlog.

“Sehingga kini 26 produk francais Malaysia berjaya mengukir nama di 50 negara di seluruh dunia,” katanya.

Selepas merasmikan Pavilion Malaysia dan melawat ekspo francais, Ismail Sabri turut mengadakan forum peluang perniagaan Malaysia di JCC yang disertai komuniti peniaga Indonesia.
Sumber : Berita Harian