Jejak Ekonomi

...

Thursday, June 24, 2010

BNM tak campur tangan pasaran tukaran mata wang asing



BANK Negara Malaysia (BNM) tidak akan campur tangan dalam pasaran tukaran mata wang asing selepas China mengumumkan akan melaksanakan dasar yang lebih anjal terhadap mata wang yuan, kata Gabenornya, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Minggu lalu, China mengumumkan akan membenarkan mata wangnya bergerak lebih anjal, langkah yang bakal menyaksikan pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Zeti menegaskan, Bank Negara akan berpegang kepada dasar sedia ada dan menjangkakan langkah kerajaan China itu hanya memberikan kesan yang kecil kepada rantau Asia.

“Langkah (China) itu dijangkakan tidak memberi kesan kepada pasaran kewangan rantau ini, termasuk pasaran tukaran asing.

“Kami akan meneruskan dengan dasar tukaran asing yang dilaksanakan ketika ini. Langkah itu telah berfungsi dengan baik untuk pasaran mata wang kami,” katanya kepada Reuters di Amsterdam, semalam.

Beliau melawat Belanda sebelum menghadiri mesyuarat tahunan Penyelesaian Antarabangsa di Switzerland hujung minggu ini.

Zeti menjelaskan, kenaikan ringgit tahun lalu, yang meningkat hampir sembilan peratus untuk berada pada RM3.231 berbanding dolar AS, memberi kesan positif kepada pemulihan ekonomi Malaysia.
Ekonomi negara berkembang 10 peratus dalam suku pertama tahun ini, yang juga kadar terpantas dicatat dalam tempoh 10 tahun.

“Kami akan menggalakkan persekitaran pasaran yang bergerak secara teratur. Pada kebanyakan masa, pergerakan itu tidak akan membabitkan dasar campur tangan.
“Kami hanya campur tangan untuk menstabilkan persekitaran pasaran ketika kejatuhan Lehman Brothres dan tempoh selepasnya. Tindakan itu diambil untuk mengelakkan kemerosotan nilai mata matang,” kata Zeti.

Sumber : Berita Harian Online

1 comment:

  1. sekali sekala baca entri ekonomi terbuka minda ni... pasal ekonomi..

    ReplyDelete